NEW DELHI – Sepasang suami isteri yang menanti kelahiran ‘bayi kembar’ mereka terkejut apabila mendapati bayi berkenaan dilahirkan dengan mempunyai dua kepala dan tiga tangan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Bayi tersebut lahir di sebuah hospital di negeri Madhya Pradesh, India, pada Isnin lalu.
Pasangan suami isteri tersebut, Sohail dan Shaheen Khan diberitahu oleh doktor bahawa mereka akan mendapat anak kembar berdasarkan pemeriksaan ketika hamil.
Bagaimanapun, Shaheen sebaliknya melahirkan seorang bayi yang mempunyai dua kepala serta tiga tangan, dengan satu daripada tangannya berada pada bahagian belakang kepala.
Anomali tersebut berpunca daripada kecacatan kelahiran yang sangat jarang berlaku, dikenali sebagai dicephalic parapagus. Hanya sebilangan kecil bayi demikian mampu hidup hingga ke usia dewasa.
Kebiasaannya, bayi dicephalic parapagus meninggal dunia ketika dilahirkan.
“Kes seperti ini amat jarang berlaku. Keadaan bayi tersebut masih tidak dapat dipastikan terutamanya dalam masa beberapa hari lagi.
“Disebabkan itu, kami perlu memantau rapi keadaannya. Kami tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melakukan pembedahan ke atas bayi tersebut,” kata salah seorang doktor berkenaan, Dr. Lahoti.
Bayi itu kini ditempatkan di Unit Penjagaan Bayi Baru Lahir Khas (SNCU) dengan keadaannya dilaporkan kritikal.
Sumber - KOSMO