Harap 'keajaiban' adik sembuh



Seremban: "Kami perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada adik dan berharap ada 'keajaiban' untuk dia sembuh walaupun peluang itu seakan tipis," kata Nurfazlin Mashor, 34.

Adik Nurfazlin, Fendy Mashor, 20, kini terlantar selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Palong 12, Jempol, dari Johor pada Januari lalu.

Dalam kemalangan itu, Fendy yang menunggang Yamaha 135LC dipercayai hilang kawalan di Lebuhraya Utara-Selatan Kulaijaya, Johor sebelum tercampak dibahu jalan menyebabkan dia parah di kepala.

Bercerita lanjut, Nurfazlin berkata, akibat kemalangan itu, Fendy hilang banyak darah akibat kepalanya terhentak pada batu selepas topi keledar yang dipakainya tercabut.

Dia berkata, adiknya itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan tempurung kepala di bahagian kiri terpaksa dikeluarkan selain tulang pipi kirinya pecah.

"Doktor turut memaklumkan mata kiri adiknya mengalami kerosakan pada saraf malah berisiko buta susulan impak kejadian.

"Adik menerima rawatan di hospital berkenaan lebih kurang dua minggu sebelum di pindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan kini, saya dan ibu menjaganya," katanya.

Menurut Nurfazlin, adiknya yang juga anak bongsu daripada enam beradik itu kini hanya terlantar malah tidak memberikan sebarang reaksi apabila dipanggil ataupun disentuh.

"Kami berharap ada 'keajaiban' untuk dia kembali sembuh, bagaimanapun kami sekeluarga reda sekiranya Allah takdirkan adik begini sehingga akhir hayatnya.

"Apa pun keadaannya, kami tetap menjaganya walau dalam apa keadaan sekalipun kerana dia darah daging kami," katanya.

Katanya, Fendy akan menjalani pemeriksaan kesihatan 21 Mac ini sebelum menjalani pembedahan bagi memasukkan semula tempurung kepala sekiranya keadaan kesihatannya stabil.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga Fendy boleh menghubungi Nurfazlin di talian 017-2249176.


Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!