Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi gembira cadangan pertukaran Hari Seniman Negara kepada tarikh kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, hari ini, menjadi nyata.
Zed berkata, cadangan perubahan tarikh itu sudah lama diutarakan kepada kerajaan.
"Hari Seniman Negara adalah cadangan Seniman iaitu ketika persatuan di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.
"Kemudian cadangan pertukaran tarikh Hari Seniman Negara diutarakan Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang. Kelab itu mencadangkan sambutan Hari Seniman Negara diubah daripada hari kematian P Ramlee pada 29 Mei kepada tarikh kelahirannya iaitu 22 Mac.
"Selepas kelab itu menghantar permohonan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kelab itu diminta untuk mendapatkan persetujuan Seniman.
"Persatuan tiada halangan untuk menukar tarikh itu, malah, menyokong penuh cadangan itu. Bagi kami, kita perlu menghormati tarikh kelahiran P Ramlee, bukan kematiannya," katanya.
Sehubungan itu, Zed berbesar hati apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan sambutan Hari Seniman Negara diubah kepada 22 Mac, bermula tahun ini.
Menurutnya, Hari Seniman Negara adalah simbolik untuk semua penggiat seni. Usaha meraikannya bertujuan memberi inspirasi kepada penggiat dan kumpulan seni.
"Hari Seniman Negara adalah untuk semua penggiat seni. Seperti Hari Guru, disambut guru. Jadi, kami sebagai seniman juga perlukan hari istimewa untuk meraikan penggiat seni.
"Tidak kiralah penyanyi, pelakon, kru belakang tabir, penggerak animasi atau sebagainya. Hari Seniman Negara adalah cara untuk rakyat ingat bahawa anak seni adalah penyumbang pembangunan ekonomi negara," katanya.
Zed berkata, P Ramlee menjadi pemangkin kepada seni kerana hasil karyanya menggabungkan pelbagai elemen.
Sehubungan itu, bagi Zed, amat penting pelajar seni terus didedahkan dengan karya P Ramlee.
"Kita perlu berkongsi kehebatan karya arwah kepada pelajar. Karya P Ramlee boleh bertahan hingga sekarang. Lagu-lagunya mempunyai bahasa yang tinggi dan melambangkan jati diri serta bangsa Malaysia.
"Ketika P Ramlee masih hidup, kita boleh lihat bagaimana beliau mempertahankan irama keroncong. P Ramlee pernah menyebut, walaupun beliau sudah tiada, dirinya hidup 1,000 tahun lagi.
"Ini membawa maksud, karya-karyanya seperti muzik yang masih kekal sampai hari ini. Inilah yang perlu kita kenang, kerana P Ramlee, pembangunan industri seni berlaku sehingga sekarang," katanya.
Mengenai sambutan Hari Seniman Negara, Zed berkata, disebabkan perubahan tarikh berlaku singkat dan penularan pandemik Covid-19, persatuan tidak sempat merancang sebarang acara.
"Tahun ini adalah kali pertama kita menyambut Hari Seniman Negara dengan tarikh baharu. Jadi, dengan masa yang suntuk, sukar bagi kami menjayakan program. Apatah lagi dengan kebimbangan penularan Covid-19.
"Namun, sesetengah persatuan merancang untuk mengadakan majlis tahlil seperti Pejabat Penerangan Daerah Klang ada menghantar jemputan kepada kami untuk menghadiri majlis itu. Mungkin selepas ini, sambutan Hari Seniman Negara boleh dianjurkan di Finas. Walaupun tidak boleh diadakan secara besar-besaran, sekurang-kurangnya acara sederhana," katanya.
Pada 29 Mei 2008, bekas Menteri Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengumumkan 29 Mei sebagai Hari Seniman sempena pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu pada 29 Mei 1973.
Sumber - HMetro