Putrajaya: "Sudah empat bulan saya tidak menerima gaji," kata pekerja pembersihan sekolah, Siti Rohana Sadami, 58, yang buntu dengan tindakan majikannya itu.
Dia adalah salah seorang daripada 53 pekerja yang tampil di pintu masuk Bangunan Putra Perdana bagi menyerahkan memorandum berhubung masalah syarikat kontraktor pembersihan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini.
Ia membabitkan pekerja di 19 sekolah daerah Sabak Bernam yang diuruskan tiga rangkaian syarikat kontraktor yang sama.
Menurut Siti Rohana, dia perlu menyara keluarga dan suami Ahmad Sadali,65, yang menghidap penyakit saraf sejak lima tahun lalu,
"Sudah 10 tahun saya bekerja sebagai pekerja pembersihan sekolah dengan gaji sebanyak RM1,100 sebulan. Saya pernah bekerja dengan tiga majikan namun ini kali pertama berhadapan masalah begini.
"Sebagai penduduk kampung yang sering berhadapan pelbagai kesukaran hidup kami berharap majikan dapat melunaskan gaji dengan segera bagi membuat persiapan Ramadan beberapa hari lagi," katanya.
Tambah Siti Rohana lagi, pada hujung minggu dia kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah bagi menampung kos perubatan suami sebanyak RM300 sebulan.
Seorang lagi mangsa, Juriah Hashim, 47, berkata, dia sudah 11 tahun bekerja sebagai pekerja pembersihan itu dan ini kali pertama berhadapan masalah seumpama itu yang dikendalikan oleh syarikat baharu.
Menurutnya, bagi meneruskan kehidupan, dia kini terpaksa menggadaikan barang kemas bagi membeli barangan keperluan dan membayar bil.
"Setiap kali kami menyuarakan masalah gaji, wakil syarikat minta bersabar namun sampai bila?
"Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera. Lebih malang lagi syarikat memotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan SOCSO namun tidak menyalurkan kepada badan berkenaan," katanya.
Difahamkan aduan sudah disalurkan pekerja menerusi Sistem Aduan Pekerja (SiAP) yang dikendalikan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).
Malah pada Januari lalu, kumpulan pekerja ini sudah membuat laporan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam namun sehingga kini tiada maklum balas.
Sementara itu, wakil Jawatankuasa Pekerja Pembersihan Sekolah Sabak Bernam, Osman Utut dan Penyelaras Nasional JPKK, Danial Hakeem Azman ketika ditemui berkata, memorandum diserahkan untuk menuntut tiga perkara iaitu majikan perlu melunaskan gaji pekerja melalui hitam putih, menamatkan khidmat tiga syarikat yang terbabit dan tidak membuli pekerja dengan menamatkan perkhidmatan.
Katanya, kumpulan pekerja ini juga sudah membuat memfailkan tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada pertengahan Februari lalu.
Sumber - HMetro