Muhamad Irfan sudah tiada...



Kulim: "Allah SWT lebih sayangkan dia dan kami sekeluarga menerima segala-galanya dengan reda," kata Siti Hajjar Majid, 46, ibu kepada Muhamad Irfan Fahmie Mohd Yusri, 18, atau dipanggil Irfan yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Kulim, semalam.

Menurutnya, Irfan yang menghidap Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak sejak 18 tahun lalu dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas jam 1 pagi Isnin lalu.

"Ketika itu Irfan bernafas dengan kuat dan saya yang bimbang melihat keadaannya menghubungi suami yang sedang bekerja sebelum dia pulang membawa anak ke hospital.

"Irfan kemudian dimasukkan ke wad kecemasan serta diberikan oksigen dan menjalani ujian saringan namun keputusan mendapati dia bebas daripada jangkitan Covid-19.


"Bagaimanapun, hasil keputusan ujian X-ray pula menunjukkan paru-parunya seakan ada gejala membuatkan doktor menempatkan anak di wad pemerhatian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, doktor terpaksa menidurkan Irfan supaya dia stabil kerana mahu melakukan ujian saringan kali kedua namun keputusan yang diperoleh selepas itu tetap sama.

"Bagaimanapun, doktor menghubungi saya semalam dan memaklumkan Irfan demam serta nafasnya semakin laju malah ubat diberi untuk mengawal pernafasannya juga tidak mendatangkan kesan.

"Doktor juga memberitahu terpaksa memberikan ubat jantung dan memantau Irfan dalam tempoh 24 jam namun tidak sampai 20 minit kemudian saya mendapat panggilan mengatakan Irfan sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, walaupun merindui anaknya yang dijaga dengan penuh kasih sayang sejak kecil namun dia terpaksa menerima hakikat Irfan sudah tiada buat selama-lamanya.

"Saya pasti akan merindui rutin harian setiap pagi memegang hidung anak sebelum mencuci dan memandikannya namun reda kerana Allah hanya meminjamkan Irfan buat seketika kepada kami sekeluarga.

"Mungkin ada hikmah di sebalik segala kejadian serta ujian yang diberikan Allah kepada kami malah saya sebagai ibu ada ketika tidak dapat menahan sedih melihat keadaan Irfan yang selama ini terpaksa menanggung penderitaan akibat penyakit dialami," katanya.

Jenazah Irfan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Jamiul Mukmin, Jalan Bukit Awi selepas Zohor, semalam.

Kisah penderitaan adik Irfan yang menghidap CP dan jangkitan paru-paru serta hanya mampu terlantar di katil pernah disiarkan Harian Metro 14 September lalu.

Disebabkan masalah kesihatan anak kedua daripada tiga beradik itu, ibunya Siti Hajjar sanggup berkorban menguruskan Irfan hingga dia sendiri disahkan mengalami 'slipped disc' (cakera tergelincir) kesan daripada kerap mengangkat anaknya itu untuk mandi.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!