Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, pada 12 Mac lalu.
Muhamad Yusri Latiff, 35, mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Tertuduh yang memakai baju kemeja berwarna kuning dilihat tenang ketika dibacakan pertuduhan.
Mengikut pertuduhan lelaki berkenaan pada 12 Mac lalu antara 1.45 tengah hari sehingga 5.30 petang didakwa menyebabkan kematian Fong Hsu Kei, 25.
Kejadian berlaku di bengkel pertanian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia di Cheras.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tertuduh tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 10.20 pagi diiringi pegawai polis.
Pada 12 Mac lalu, media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai penyelia kedai buku ditemukan rentung disyaki dibunuh dan dibakar di dalam bilik bengkel sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak.
Polis kemudian merakam keterangan 37 individu untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Difahamkan, cubaan merogol mangsa dipercayai menjadi motif wanita itu dibunuh sebelum mayatnya dibakar di lokasi kejadian.
Sumber - HMetro