‘Haziq mimpi ibu ayah, wajah mereka tenang’



KULIM – “Saya mimpikan ibu dan ayah pada awal Ramadan ini, mereka datang dengan wajah yang tenang sambil memandang ke arah saya.”

Demikian cerita Muhammad Haziq Zikri, 11, yang menjadi yatim piatu selepas kedua-dua ibu bapanya iaitu Mohd. Zairul Mat Isa, 34, dan Noratiqah Abd. Hamid, 30, maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 5,

Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di Ipoh, Perak pada 11 Ogos 2020.

Turut terkorban dalam kejadian itu ialah adik Muhammad Haziq iaitu Nur Qaseh Damia, 4, serta nenek, Fatimah Mat Isa, 70.

Menurut Haziq, dia mungkin teringatkan arwah ibu bapa serta adik dan neneknya menjelang Hari Raya Aidilfitri sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.

“Adakalanya saya teringat dan rindukan mereka terutama kena­ngan semasa berbuka puasa bersama dan masakan arwah ibu yang paling saya suka ialah tomyam.

“Apabila nak tiba hari raya pula, arwah ibu dan ayah sibuk menyiapkan baju raya untuk saya dan arwah adik serta kelengkapan lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Badlishah di Serdang dekat sini semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia semakin boleh menerima ketentuan Ilahi dan sentiasa berdoa agar ketiga-tiga insan kesayangan­nya itu diberi keampunan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Muhammad Haziq yang bercita- cita menjadi seorang anggota bomba belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Selama, Bandar Baharu dan tinggal bersama ibu saudara, Siti Sarah Mat Isa, 26, di Kampung Badlishah.

Sementara itu, Siti Sarah berkata, dia dan Haziq telah keluar membeli baju serta kelengkapan raya baru-baru ini.

Katanya, Muhammad Haziq akan beraya di rumah nenek se­belah arwah ibunya di Juru, Pulau Pinang.

“Selepas raya ketiga dia akan beraya bersama kami serta sepupunya di sini,” katanya.

Dalam kemalangan itu, seramai tujuh orang daripada dua keluarga maut selepas kendera­an pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler.

Turut maut ialah sepupu Mohd. Zairul, Hasliza Mahmud, 40, dan suaminya, Zulkifli Shuib, 49, serta anak mereka, Mohd. Alif Firdaus, 3.

Sementara dua sepupu Muhammad Haziq iaitu Firash Mikael Azrie Shah, 11, dan Mohd. Shafiq Azrie Shah, 16, terselamat.

Kesemua mangsa tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Badlishah selepas bercuti di Cameron Highlands, Pahang.


Sumber - KOSMO 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!