Pasir Puteh: Wanita yang ditikam anaknya sendiri dilaporkan merangkak ke hadapan rumah bagi mendapatkan bantuan suaminya selepas ditikam anaknya dalam kejadian di Bukit Yong, di sini, Selasa lalu.
Perkara itu didedahkan seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali.
Bercerita lanjut, katanya, ketika kejadian mangsa sedang tidur selepas keletihan menjaga suspek yang demam sejak beberapa hari lalu.
"Dia (suspek) demam, mak dia jaga. Sebelum itu (demam), dia ikuti merentas desa anjuran sekolah. Balik itu yang dia mula demam.
"Ketika kejadian, bapanya berada di laman rumah sedang berborak dengan jiran. Kemudian, ayah dan jiran terdengar jeritan mangsa sebelum mendapati mangsa (si ibu) merangkak keluar (dari) rumah dalam keadaan berlumuran darah," katanya.
Susulan itu, mangsa dikejarkan ke sebuah hospital sebelum dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk menerima rawatan.
Mengulas lanjut, katanya, remaja itu dikenali sebagai seorang yang pendiam dan tidak pernah membawa masalah kepada keluarga.
"Kami pun terkejut dengan kejadian, sekarang keadaan ibu pelajar itu dalam keadaan stabil. Kami harap doakan yang baik-baik kerana kami pun tidak tahu punca kejadian," katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, datuk mangsa berusia 60-an memaklumkan, sebelum kejadian tiada kejadian pelik berlaku.
Katanya, pelajar itu adalah anak ketiga daripada enam beradik dan seorang yang baik.
"Dia jenis tak banyak cakap, harap (orang ramai) jangan buat andaian sendiri (mengenai) kejadian ini," katanya.
Seorang lagi ahli keluarga mangsa memberitahu wartawan bahawa, remaja terbabit kelihatan trauma selepas menyedari dia menikam ibunya.
"Dia (suspek) pun nampak trauma selepas sedar akan kejadian. Biarlah polis jalankan siasatan," katanya juga memohon masyarakat tidak membuat andaian berhubung perkara itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk melengkapkan siasatan dari pelbagai sudut.
Semalam Harian Metro melaporkan, seorang wanita parah selepas ditikam anaknya sendiri ketika sedang tidur di rumah mereka di Bukit Yong, di sini.
Susulan itu, remaja terbabit ditahan dan pisau digunakan suspek juga dirampas pihak berkuasa.
Sumber - HMetro