BALING – Seorang wanita warga emas dari Kampung Kuala Lesong, Kuala Ketil dekat sini terpaksa berkorban menjaga cucu lelakinya yang menghidap autisme sejak 10 tahun lalu.
Siti Bunga Salleh, 84, berkata, dia menjaga cucu lelakinya, Muhammad Hafizi Md. Saad, 27, seorang diri selepas cucunya itu menjadi yatim piatu.
Katanya, ibu kandung Muhammad Hafizi, Solehahtun Rofikah Hasanahtun Abdul Wahab, 40, iaitu anak perempuannya telah meninggal dunia setahun selepas suaminya, Saad Yaakub, 50, meninggal dunia.
“Muhammad Hafizi tidak boleh menguruskan dirinya sendiri dan perlu dibantu termasuk makan, mandi serta membuang air kecil dan besar,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun kudratnya sudah semakin lemah disebabkan usia yang telah lanjut, namun dia tetap gagah untuk memikul tanggungjawab menjaga cucunya itu.
“Fizikalnya yang seperti orang dewasa seusianya menyebabkan saya kadangkala terpaksa mengerah kudrat tua untuk uruskan segala keperluan,” ujarnya.
Siti Bunga berkata, dia ada menyimpan hasrat untuk menghabiskan usia tuanya di mana-mana pondok pengajian Islam, tetapi terpaksa melupakan niat tersebut demi menjaga cucunya.
“Bagaimanapun, saya masih bimbang akan nasib dia sekiranya saya jatuh sakit atau meninggal dunia suatu hari nanti.
“Bukan semua orang yang sanggup galas tanggungjawab untuk jaga OKU (orang kelainan upaya), jadi seboleh-bolehnya saya nak pastikan ada pihak yang boleh ambil dan jaga cucu saya ini sebelum saya menutup mata,” ujarnya.
Katanya, Muhammad Hafizi menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan selain sumbangan ihsan daripada jiran-jiran dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Tiga anak lelaki saya yang bekerja sebagai buruh kampung juga ada membantu dari segi perbelanjaan dapur dan juga menjaga kebajikan saya,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Bunga di talian 011-2981 9513.
Sumber - KOSMO