Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) ditemui meninggal dunia di pejabatnya di Menara KPJ, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pegawai lelaki berusia 42 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
"Pegawai itu dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam tadi. Siasatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.
"Punca kematian pegawai berkenaan disyaki akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, jenazah pegawai terbabit dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Sumber - HMetro