TASEK GELUGOR: Seorang pemandu lori ais maut, manakala kelindan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar papan tanda dalam kemalangan di Jalan Permatang Manggis, di sini, pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi apabila pemandu berusia 20 tahun itu dipercayai hilang kawalan sejurus melalui selekoh sebelum melanggar papan tanda di tepi kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad mengesahkan kejadian itu susulan maklumat disalurkan orang awam.
"Akibat kemalangan itu pemandu lori disahkan meninggal dunia, manakala kelindan lelaki berusia 22 tahun mengalami cedera ringan.
"Siasatan juga mendapati pemandu lori ais itu tidak mempunyai lesen memandu," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kelindan yang cedera juga dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular video kemalangan membabitkan lori ais yang terbabas sendiri di Facebook yang memaparkan seluruh bahagian cermin depan kenderaan terbabit pecah, manakala bahagian belakang remuk.
Melalui video sama juga, puluhan beg mengandungi ais dikatakan untuk dihantar ke premis berhampiran dipercayai orang awam sebelum diletakkan di tepi jalan di lokasi kejadian.
Sumber - Berita Harian