Sungai Petani: Perjalanan seorang wanita ke tempat kerja bertukar tragedi apabila dia maut selepas terbabit dalam satu kemalangan langgar lari di Kilometer 44 Jalan Alor Setar-Butterworth berhampiran Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, mangsa Zaiton Ismail, 49, bekerja sebagai pengawal keselamatan menunggang motosikal sebelum dikatakan bertembung dengan lori ketika cuaca masih gelap di kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu lori melarikan diri.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sebuah lagi kenderaan iaitu Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun turut terbabit dalam kemalangan itu.
"Bagaimanapun, pemandu Perodua Kancil tiba selepas kemalangan membabitkan motosikal serta lori dan dia ketika itu cuba mengelak objek yang datang dari arah hadapan sebelum terbabas ke kanan jalan.
"Pemandu kereta berkenaan juga tidak sempat melihat kenderaan di hadapannya yang kemudian terus beredar dari lokasi kemalangan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.
Zaidy berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat kesan kerosakan pada motosikal mangsa yang dipercayai akibat kenderaan berat iaitu lori dan polis masih mengesan pemandunya yang melarikan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4232222.
Sumber - HMetro