'Dia sudah brek sampai tayar berasap'


DUNGUN: "Kereta itu secara tiba-tiba keluar dari simpang menyebabkan Dika membrek dengan kuat sehingga tayar motosikalnya berasap," kata Adnan Othman, 44, menceritakan detik cemas sebelum rakannya dan isteri maut dalam kemalangan, petang semalam.

Dalam kemalangan jam 5 petang di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Simpang Tanjung Jara, Mohd Abdika Razali, 36, dan isterinya, Rabiatuladawiah Saufi, 36, maut di tempat kejadian.

Adnan berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri itu yang menunggang motosikal jenis Aprillia RSV4 berada di depannya dalam jarak kira-kira 50 meter.

"Saya dan isteri, Azlia Alias, 41, berada di belakang dan kami berdua dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menghadiri perhimpunan motosikal berkuasa tinggi di Kuala Terengganu.


"Sebelum bertolak pulang, arwah Rabiatuladawiah teringin nak makan kari kepala ikan di Telemong Hulu Terengganu dan mengajak saya dan isteri makan bersama," katanya.

Dia dan isterinya bersetuju dengan pelawaan itu sambil bercadang pulang ke Kemaman menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur2 (LPT2) yang jaraknya lebih dekat.

"Bagaimanapun, Arwah Rabiatuladawiah tiba-tiba menukar rancangan dan meminta kami melalui jalan pantai (Kuala Terengganu-Kuantan) dan mencari mana-mana kedai makan di sepanjang laluan itu.

"Kami bertolak dari Pantai Batu Buruk kira-kira jam 4 petang sebelum mereka terbabit kemalangan itu," katanya.

Adnan berkata, ketika kenderaan itu keluar dari simpang, dia menjerit melaungkan nama Adika dengan kuat kerana sudah menjangkakan rakan baiknya itu akan merempuh kereta itu.

"Saya dan isteri sempat mengajar mereka berdua mengucap sebelum nadinya terhenti diikuti isterinya kira-kira 10 minit kemudian.

"Saya sangat sedih terutama mengenangkan tiga anak arwah yang berusia 16,14 dan 8 tahun yang kini menjadi yatim piatu," katanya sambil menambah Abdika adalah peniaga ayam di pasar Binjal .



Sumber - Berita Harian 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!