SUNGAI PETANI – Dua beranak dari Kampung Telok Wang di sini bukan sahaja diuji dengan kesempitan hidup, malah mereka turut menderita dengan penyakit dihidapi sejak dua tahun lalu.
Siti Hasnah Hashim, 73, yang merupakan ibu tunggal kepada lima anak menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, manakala anak lelaki bongsunya, Khusairi Yusof, 29, pula menderita kedua-dua belah kaki bengkak akibat jangkitan kuman.
Menurutnya, dua jari kaki kanannya telah dipotong dua tahun lalu selain penglihatan kabur dan kurang pendengaran.
Katanya, meskipun kesihatannya tidak menentu, namun dia terpaksa menggalas tanggungjawab untuk menyediakan makan dan minum buat Khusairi memandangkan anaknya itu tidak dapat berjalan.
“Saya dan anak menyara hidup dengan bantuan zakat sebanyak RM200 sebulan selain turut dibantu oleh anak lelaki keempat, Zabidi Yusof, 33, yang bekerja sebagai mekanik.
“Bagaimanapun, wang itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan kos perubatan kami dua beranak,” katanya di sini semalam.
“Bagaimanapun, wang itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan kos perubatan kami dua beranak,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, dia terpaksa mencuci semula kain balutan yang digunakan untuk membalut luka pada kaki dia dan anak dengan menggunakan air panas kerana tidak mampu membeli dan menukar kain balutan baharu.
“Hidup kami memang susah sebelum ini, namun keadaan menjadi semakin sukar apabila diuji dengan masalah kesihatan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Khusairi berkata, keadaan kakinya menjadi semakin parah apabila tiba-tiba membengkak dan bernanah pada Mac lalu sehingga terpaksa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 02124-29-00013736-6 atas nama Siti Hasnah Hashim atau boleh hubungi talian 014-6202834.
Sumber - KOSMO