KLUANG -Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah van dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Batu Pahat-Mersing pagi semalam.
Dalam kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi itu menyebabkan Nur Shafiq Hakim Raif meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut ibu mangsa, Zalina Kasan, 45, anak tunggalnya itu menunjukkan perubahan sikap sehari sebelum kejadian apabila memberitahu tidak mahu berjumpa dengan guru dan rakannya di hari pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, dia hairan apabila anak tunggalnya itu, memilih untuk memakai baju milik bapanya pada hari kemalangan.
“Pagi semalam anak saya keluar rumah dua kali, kali pertama tolong hantar kuih di Pejabat Daerah Kluang dan pulang ke rumah sebelum keluar lagi untuk bersarapan.
“Dia juga berkata, ‘mama jangan tengok kita, dan menyuruh saya menutup pintu sewaktu kali terakhir itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zalina berkata, dia mendapat perkhabaran duka kemalangan menimpa anaknya itu melalui kumpulan WhatsApp keluarga yang menghantar mesej pencarian waris mangsa kemalangan.
“Apabila saya tengok pautan ‘link’ itu dan gambar kad pengenalan yang ada, saya menjerit, menangis dan terperanjat kerana itu anak saya.
“Saya terus menelefon anak saudara yang bekerja di hospital supaya mencari anak saya di wad kecemasan, tetapi dia meminta saya datang dahulu ke sana dan panggilan kali kedua daripadanya pula mengesahkan anak saya rupanya sudah meninggal dunia,” katanya.
Jelasnya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak di sini kira-kira pukul 9 malam tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati, mangsa cuba mengelak sebuah lori yang berhenti untuk masuk simpang jalan.
“Motosikal ditunggang mangsa dari arah Kluang telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori lain yang datang dari arah Batu Pahat.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah pada anggota badan dan maut di tempat kejadian. Sementara, pemandu van seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau berbahaya.
Sumber – KOSMO! ONLINE