Semuanya kerana Allah Taala...


Alor Setar: Status sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal bukan halangan untuk Muhammad Haiqal Mohd Fauzi melakukan kerja fardu kifayah.

Buktinya, Muhammad Haiqal, 22, aktif melakukan kerja khidmat pengurusan jenazah sejak awal pandemik Covid-19 iaitu kira-kira dua tahun lalu.

Menurut Muhammad Haiqal, dia tidak bergerak sendiri namun bersama ahli Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kampung Seberang Alor.

Berkongsi pengalamannya, Muhammad Haiqal yang mengalami masalah pergelangan kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan empat tahun lalu berkata, kerja itu dilakukan dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan bayaran atau upah.

Bagaimanapun, Muhammad Haiqal tidak menolak jika waris ingin menderma atas niat sedekah untuk ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

"Sudah dua tahun saya aktif dalam kerja sukarelawan pengurusan jenazah.

"Selain jenazah biasa, banyak juga mayat mangsa Covid-19 yang diuruskan dan niatnya membantu waris si mati.

"Boleh dikatakan, saya tidak ambil satu sen pun daripada kerja dilakukan kerana sudah tetapkan daripada awal niat untuk membantu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Setakat ini, Muhammad Haiqal puas terutama apabila dapat membantu meringankan beban waris yang kurang berkemampuan.

Meskipun begitu, Muhammad Haiqal mengakui ada yang memperlekehkan kerja amal yang dilakukannya.

"Ada orang katakan kepada saya apa dilakukan itu tidak mendatangkan hasil.

"Mana tidaknya, saya tidak ambil upah dan tawarkan khidmat secara percuma namun syukur Alhamdulillah, rezeki saya cukup setakat ini kerana ada juga lakukan pekerjaan sampingan lain," katanya yang turut memuat naik videonya menghantar jenazah di TikTok.

Menyedari wujudnya golongan ''ulat' pengurusan jenazah yang cuba mengambil kesempatan lebih menguatkan semangat Muhammad Haiqal untuk meneruskan kerja amalnya.

"Jujurnya, saya sedih apabila terbaca kisah waris termasuk dalam kalangan warga asing yang dikenakan caj terlalu tinggi untuk khidmat pengurusan jenazah.

"Ini kerana ada segelintir pihak memang sengaja mengambil kesempatan terhadap waris terbabit.

"Jadi, saya cuba bantu dengan kudrat yang ada dan akan terus lakukannya selagi termampu serta diizinkan Allah," katanya yang pernah berniaga dengan membuka gerai menjual ayam goreng keju sebelum ini.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!