Tanda tanya kereta dalam sungai terjawab


TAPAH- Sebuah kereta yang ditemukan dalam sungai di Batu 13, Jalan Pahang di sini hari ini, mengundang tanda tanya apabila tiada seorang mangsa dijumpai termasuk pemandu kenderaan.

Malah usaha pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah yang melakukan pencarian di dalam air dan sekitar kawasan kejadian turut menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, teka-teki itu terjawab apabila pasukan penyelamat berjaya menghubungi keluarga mangsa melalui pencarian nombor pendaftaran kenderaan.

Ketua BBP Tapah, Nadzri Che Nordin berkata, sepasukan 11 anggota dan seorang penyelia pasukan digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Axia berada di dalam sungai dipercayai terbabas sebelum terjatuh pada ketinggian dua meter.

“Operasi mencari mangsa dijalankan segera bagi mengesan sekiranya ada mangsa yang terperangkap. Mangsa bagaimanapun gagal ditemui walaupun pencarian turut dilakukan di kawasan sekitar dibimbangi dihanyutkan arus.

“Pada masa sama, kita juga cuba mengesan pemilik kenderaan menerusi nombor pendaftaran kenderaan dan berjaya menghubungi keluarga yang memaklumkan kedua-dua mangsa selamat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar pukul 11.40 malam dan kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Tapah.



Sumber – KOSMO! ONLINE.



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!