PETALING JAYA – Ikon permotoran, Haqiem Stopa sekali lagi menjadi sebutan gara-gara tersebar sekeping gambar menunjukkan dirinya telah disaman kerana kesalahan tiada lesen memandu.
Terkini, Haqiem yang memiliki lebih 800,000 pengikut di akaun TikTok mengaku kesilapan tersebut dan bersedia menanggung akibatnya.
Haqiem, 22, berkata, dia ditahan kerana tiada lesen kereta bukannya tiada lesen motosikal.
“Selesai makan malam, saya dan pemandu peribadi terus bergerak untuk pulang ke pejabat saya di Sungai Buloh.
“Kebetulan pemandu peribadi saya tidak larat, jadi saya pandu kereta sendiri namun ditahan polis kira-kira pukul 11 malam ketika melalui satu sekatan jalan raya di ibu kota,” jelasnya.
Namun begitu, Haqiem tampil membuat laporan polis selepas maklumat peribadi iaitu nama penuh dan alamat yang tertera di surat saman tersebar.
Katanya, gambar dan maklumat peribadi tidak sepatutnya dihebahkan kerana ianya melibatkan privasi.
Dalam pada itu, orang ramai turut menyokong tindakan yang dilakukan oleh Haqiem dengan membuat laporan polis dan berharap orang ramai juga tidak lagi sesuka hati mendedahkan maklumat peribadi orang lain.
“Bagus lah Haqiem buat laporan, sebab netizen kita kalau bab dedah dan sebar maklumat orang ni memang cepat.
“Cuba la fikir kalau terkena dekat batang hidung sendiri, pasti malu,” ujar Faizul Jo.
“Buat laporan polis satu tindakan bijak, jangan buat tindakan sesuka hati sudah lah.
“Kalau bab dedah maklumat untuk buatkan orang lain malu itu memang tugas nombor satu netizen kita,” jelas Mat Luq Mache.
Sumber – KOSMO! ONLINE.