Bentong: Polis meningkatkan rondaan dan pengawasan di sebuah taman perumahan di Karak, dekat sini, susulan kejadian samun minggu lalu yang menyebabkan seorang warga emas parah sehingga memerlukan 10 jahitan.
Dalam kejadian 7.50 pagi pada 7 Julai lalu itu, mangsa berusia 72 tahun parah ditetak berhampiran leher selepas diserang perompak bersenjatakan parang manakala cucunya berusia 18 tahun dipukul dengan pemegang parang.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, Unit Kereta Peronda (MPV) polis sudah diarah memperhebatkan rondaan pencegahan jenayah di kawasan itu termasuk pada waktu siang.
"Selain meningkatkan penguatkuasaan, pasukan petugas ditubuhkan untuk mengumpul bukti penting bagi membantu polis mengesan suspek.
"Kami sedang menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari lokasi kejadian dan meneliti pergerakan mereka (suspek) sebelum dan selepas rompakan.
"Samun itu dilakukan dua lelaki tempatan yang memakai topi keledar menutup muka dan menaiki motosikal Honda EX5 manakala seorang daripada mereka bersenjatakan parang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zaiham menasihatkan penduduk di Karak supaya sentiasa berwaspada dan segera memaklumkan kepada polis sekiranya terlihat individu tidak dikenali atau kenderaan mencurigakan di sekitar kawasan kejiranan.
Dalam kejadian 7 Julai lalu itu, dua lelaki tidak dikenali berusia 20-an dan 30-an, tiba dengan motosikal sebelum memasuki rumah mangsa di Taman Hijau, Karak.
Mereka melarikan diri dengan membawa barang kemas terdiri daripada rantai dan cincin milik isteri mangsa.
Semakan mendapati, sebelum kejadian suspek cuba memasuki rumah lain di sekitar kawasan itu tetapi cubaan mereka berjaya digagalkan beberapa penduduk.
Difahamkan, kejadian samun serupa pernah dilaporkan beberapa bulan lalu di kawasan itu dan suspek menyasarkan rumah yang pintu pagar depan dan jeriji besi dibiarkan terbuka bagi memudahkan mereka menceroboh.
Sumber - HMetro