Kuala Lumpur: YouTuber yang mencetuskan kontroversi selepas berkongsi kandungan media sosial dengan menarik tudung wanita Islam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 24 tahun itu sebelum ini ditahan pada 7.30 malam kelmarin, susulan laporan diterima pihaknya.
Katanya, laporan berkait klip video daripada YouTube yang tular, menunjukkan tudung dua wanita Islam ditarik, hingga menimbulkan rasa kurang senang warganet.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
"Namun suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta 336 di Mahkamah Majistret semalam dan dihukum denda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang rakaman dan penyebaran video yang mengandungi isi kandungan yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat serta menyentuh sensitiviti di masa akan datang.
Terdahulu, pemuda yang juga YouTuber dikenali Nick memohon maaf atas keterlanjurannya memuat naik video 'prank' tarik tudung dua wanita di saluran YouTubenya.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi video terbaru yang dimuat naik di salurannya, tidak lama selepas kontroversi itu kelmarin.
Sekalipun sudah menjelaskan perkara sebenar, rata-rata netizen terus melemparkan kecaman terhadap Nick dan menganggapnya biadap kerana tidak menghormati wanita Muslimah.
Sumber - HMetro