PETALING JAYA – Elakkan bayi daripada perokok kerana kajian menunjukkan bayi terdedah dengan asap rokok dan sisa rokok berisiko tinggi untuk mati mengejut atau Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).
Perkara tersebut adalah antara langkah bagi mencegah bayi daripada SIDS seperti dikongsikan oleh pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan pada media sosialnya.
Menerusi perkongsian beliau, kematian mengejut tersebut tidak dapat dijangka dan sindrom itu biasa berlaku pada bayi berusia lingkungan satu bulan hingga setahun.
Katanya, langkah lain ialah elakkan tidur dalam posisi meniarap kerana kemungkinan bayi tertutup hidung dan mulut sangat tinggi malah, mereka masih tidak kuat untuk menukar posisi jika lemas.
“Elakkan tidur di atas tilam dan cadar lembut kerana akan membuatkan bayi tenggelam dari paras selamat dan berkemungkinan akan terbenam mukanya.
“Selain itu, elakkan meletakkan mainan lembut (soft toys) di atas katil. Ini akan menyebabkan kemungkinan boleh menutup muka bayi ketika tidur,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, elakkan bayi daripada memakai pakaian berlapis ketika tidur kerana boleh menyebabkan suhu badan menjadi tinggi ekoran sekali gus menambah risiko SIDS.
“Seterusnya, elakkan bayi tidur dengan kanak-kanak lain kerana berkemungkinan dihempap tanpa sedar. Dalam masa sama, menyusu badan anak dapat mengurangkan risiko SIDS sebanyak 50 peratus.
“Jika bayi mengalami masalah jangkitan salur pernafasan, segera dapatkan rawatan doktor. Ibu bapa perlu beri lebih perhatian pada bayi yang pramatang kerana risiko SIDS sangat tinggi,” katanya.
Sumber - KOSMO! ONLINE