Buruh tak mahu bekerja maut dipukul rakan serumah


Sungai Petani: Buruh kontraktor dipercayai mangsa pukul rakan serumah di Taman Gemilang Sungai Lalang, Bedong, maut dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, semalam.

Kematian lelaki berusia 39 tahun itu disahkan doktor di Jabatan Kecemasan HSAH pada 3.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil pemeriksaan lanjut doktor berkenaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan dan menghubungi polis selepas mengesyaki mangsa kemungkinan dipukul.

"Sepasukan polis bergegas ke hospital untuk menjalankan siasatan dan doktor yang membuat pemeriksaan mendapati kesan kecederaan di tubuh mangsa berlaku akibat dia dipukul sejak sebulan lalu.

"Selain itu pemeriksaan turut mendapati telinga kanan mangsa bengkak, kesan luka tangan kanan dan kiri, kesan pukul di kedua-dua peha serta luka di badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis turut mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa dan bekas isterinya.

"Wanita berkenaan juga memberitahu yang bekas suaminya itu bersama seorang anak mereka tinggal di rumah rakan lelaki yang juga suspek dalam kes terbabit.

"Hasil siasatan lanjut, beberapa jiran juga mendakwa mereka memang ada terdengar pergaduhan antara dua rakan terbabit namun takut untuk membuat laporan polis kerana bimbang diancam suspek yang didakwa seorang gangster," katanya.

Zaidy berkata, susulan daripada itu polis menahan suspek yang berusia 36 tahun dan ketika siasatan awal, dia mengaku pernah memukul mangsa menggunakan kayu dan tangan sejak sebulan lalu.

"Suspek mendakwa dia bertindak begitu terhadap mangsa yang juga rakan serumahnya itu kerana mangsa tidak mahu bekerja selain kerap memukul anaknya sendiri.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.


Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!