Pelajar buli di MRSM Kuantan dipindahkan


KUCHING: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan mengambil tindakan disiplin dan memindahkan beberapa pelajarnya yang dilaporkan membuli seorang pelajar perempuan maktab itu, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, berkata tindakan itu dibuat tanpa didedahkan kepada umum bagi memastikan MRSM terus menjadi pusat pembelajaran yang kondusif dan selamat.

"Walaupun kes itu terpencil, MARA tidak berdiam diri dan tindakan sudah diambil dengan memindahkan pelajar yang membuli ke tempat lain," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, tular di Facebook seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di MRSM berkenaan sejak Jun lalu dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu itu.

Susulan itu, wanita berkenaan membuat laporan polis dan merujuk anaknya ke hospital kerana pihak asrama menyatakan anaknya mengalami masalah keresahan.

Wanita itu mendakwa baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius kes itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku, termasuk kes buli.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu.

Dalam perkembangan lain, Hasbi berkata, MRSM Bintulu yang dijangka siap pada tahun ini akan memulakan operasinya tahun depan, manakala MRSM di Lawas masih di peringkat tender.

Beliau berkata, langkah itu akan memberi peluang kepada lebih ramai anak Sarawak memasuki MRSM.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, 40 kakitangan MARA Sarawak menerima anugerah atas prestasi perkhidmatan cemerlang. 



Sumber – Berita Harian / BERNAMA



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!