Tiga beranak dituduh dera simbah air panas terhadap budak lima tahun


KUALA PILAH: Tiga beranak termasuk seorang bakal penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera seorang budak perempuan berusia lima tahun pada bulan lalu.

Pasangan suami isteri, R Guna Silan, 42 serta K Nagamah, 41 dan anak perempuan mereka, G Nisha, 21, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka dalam bahasa Tamil secara bersama di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak perempuan, mendera menggunakan rotan, dipukul, ditendang dan disimbah air panas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketiga-tiga tertuduh di antara 15 hingga 19 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol.

Kejadian itu mengakibatkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di seluruh bahagian badan iaitu di bahagian dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki, kepala dan muka.

Tiga beranak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris, dalam rayuan memohon jaminan yang minimum atas alasan sudah memberikan kerjasama yang baik kepada siasatan polis, selain seorang tertuduh akan melanjutkan pengajian di sebuah IPTA pada bulan September ini.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, bagaimana pun memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh.

Dalam keputusannya, hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!