Kata-kata akhir masih terngiang di telinga kakak


Klang: Semuanya berlaku sekelip mata, sedikitpun tiada yang menyangka akan kehilangan adik bongsu kesayangan mereka, Muhaimin Mohd Said, 34, akibat kecuaian pemandu lain.

Kakak mangsa, Zuraidah Mohd Said, 48, berkata, kata-kata terakhir Muhaimin pada malam Selasa lalu, masih terngiang-ngiang di telinganya sehingga ke saat ini.

"Malam Selasa lalu, selepas balik kerja, arwah datang rumah saya, kami sembang macam biasa tetapi ayat terakhir dia sebelum balik... 'Lepas ini aku ingat nak cari rumah jauh sikit la, nak duduk jauh sikit.'

"Saya tak tanya apa-apa, cuma pelik kenapa dia cakap begitu," katanya sebak ketika mengimbas kembali pertemuan terakhir dengan arwah.

"Bila Amin (panggilan untuk arwah dalam keluarga) kemalangan dan pergi selama-lamanya, baru saya sedar kata-kata dia semasa kali terakhir kami jumpa.

"Arwah memang sangat rapat dengan saya, apa-apa mesti bercerita dengan saya termasuk berkaitan kerja dan kerap datang ke rumah saya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya," katanua.

Zuraidah ditemui ketika menunggu proses bedah siasat arwah di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Turut kelihatan isteri yang baru dikahwini arwah pada 9 September lalu, Nur Izwana Othman, 26, yang kelihatan sugul dan hanya mendiamkan diri.

Menurut Zuraidah, arwah juga sangat teruja ketika membuat persiapan majlis perkahwinannya dengan wanita pilihan hati.

"Selepas kahwin, dia memang duduk berhampiran rumah mak tetapi dalam seminggu dua ini, dia dan isteri duduk di rumah mak. Kata adik, adik nak jaga mak.

"Arwah seorang anak, adik, suami, bapa saudara yang sangat baik dan periang orangnya... dia anak bertanggungjawab, mengambil berat.

"Masa hendak kahwin pun arwah teruja... arwah buat macam-macam persiapan dan sangat sayangkan isterinya," katanya.

Anak kedua dari enam beradik itu berkata, dia hilang kata-kata apabila melihat jasad adiknya terbaring di jalan raya ditutupi kain putih serta dua payung.

"Bila buka kain putih, tengok itu adik, saya bertambah sebak tetapi tiada banyak kecederaan luar pada wajah adik, cuma hidung sahaja mengalir darah.

"Saya tengok beg penghantaran kosong, kemungkinan arwah nak balik rumah di Kampung Rantau Panjang sebab itu jalan balik rumah, atau mungkin juga hendak ambil makanan.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya di hari Jumaat. Kami terima ketentuan Allah SWT. Terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah," katanya.

Pada masa sama, mereka sekeluarga berharap pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal terhadap pihak yang menyebabkan kematian adiknya dan seorang lagi penunggang motosikal yang cedera parah.

Jenazah dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang di sini, hari ini.

Kemalangan membabitkan lima kenderaan mengorbankan Muhaimin dan menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera parah kelmarin, mendapat perhatian umum di seluruh negara.

Kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru/Jalan Haji Sirat, kira-kira jam 2 petang itu membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua motosikal.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!