‘Untung secupak rugi segantang’, terima suapan RM400 tapi kena denda RM3,000


Ibarat untung secupak rugi segantang, seorang bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan menerima suapan wang tunai RM400 daripada seorang kontraktor tanpa balasan, pada 2018.

Mohamad Yusof Kameh, 55, yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah AADK Pulau Pinang terlepas daripada hukuman penjara selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan kedua pada sebutan kes itu, hari ini.

Dalam penghakimannya, Hakim, Elesabet Paya Wan yang menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika ingkar membayar denda. Tertuduh membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, Mohamad Yusof sebagai Pengarah AADK Melaka (ketika kejadian) didapati menerima untuk diri sendiri wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat walaupun mengetahui ada kena mengena dengan tugas rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat AADK Melaka, pada 22 Jun 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, lapor BH.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghubungi Budyarif dari Syarikat Mutiara Event Management & Supplies pada Mac 2018 dan bertanyakan sama ada dia membuat kerja mencetak dan membekal beg kertas.

Perbincangan lanjut diadakan di pejabat tertuduh yang mana dia meminta Budyarif memberi wang RM400 bagi kegunaan AADK Melaka serta menyediakan sebut harga syarikat ‘dummy’ kerana kerja perbekalan itu kurang daripada RM5,000.

Penjawat awam itu juga meminta Budyarif menaikkan sebut harga kepada RM4,630 daripada asal, RM4,230 dengan perbezaan RM400 adalah untuknya bagi program agensi itu.

Lapor BH lagi, tiga sebut harga diserahkan oleh Budyarif kepada tertuduh yang memaklumkan syarikatnya dipilih bagi tawaran kerja itu serta membuat bayaran RM4,592 selepas ditolak EP RM37.04.

Budyarif pada 21 Jun 2018 mengeluarkan cek tunai RM1,500 sebelum menyerahkan wang tunai RM400 diminta tertuduh di pejabat AADK keesokkan harinya pada jam 3.30 petang.

Sebelum itu, tertuduh pada 18 Februari lepas, didakwa atas empat pertuduhan utama mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu menerima suapan bernilai keseluruhan RM5,900 daripada seorang kontraktor bagi tender penyelenggaraan dan perbekalan antara 2017 hingga 2019.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai kerajaan itu juga didakwa atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu menerima untuk diri sendiri wang tunai berjumlah RM5,900 daripada individu sama, tanpa balasan.



Sumber - malaysiadateline



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!