Ibu reda, anak dijemput Ilahi selepas 2 hari dilahirkan


Kemaman: Belum puas menatap wajah anak kedua, Nur Hakimah Rais Ahmad dan suaminya, Syahmiezan Sahrom diuji dengan pemergian zuriat mereka itu yang dijemput Ilahi selepas dua hari dilahirkan.

Nur Hakimah, 28, yang menetap di Kampung PayaBerenjut, di sini berkata, bayi diberi nama AinulSyahidah Syahmiezan itu meninggal dunia kira-kira jam 10.45 pagi kelmarin akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah Ainul Syahidah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman, di sini jam 2 petang hari yang sama.

Berkongsi kisah memilukan itu, Nur Hakimah berkata, dia tidak mengalami masalah serius sepanjang kehamilan malah tiada diabetes, darah tinggi atau sebarang penyakit kronik.

"Selepas kelahiran, Ainul Syahidah ditahan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) untuk pemantauan manakala saya dapat pulang terus ke rumah kerana tiada penyakit serius.

Alhamdulillah, dia dalam keadaan baik ketika itu tetapi kira-kira jam 11 malam (hari sama), saya terima panggilan daripada hospital memaklumkan Ainul Syahidah tidak stabil kerana ada jangkitan kuman pada paru-paru dan kekurangan oksigen

"Saya dan suami diminta datang ke hospital untuk doktor dapatkan sampel darah saya. Alhamdulillah, Ainul Syahidah menunjukkan peningkatan keesokannya cuma doktor ada beritahu keadaannya tidak sepenuhnya baik jadi kami sudah bersedia dengan segala kemungkinan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kira-kira jam 3 pagi kelmarin, Nur Hakimah menerima panggilan daripada hospital memaklumkan Ainul Syahidah dalam keadaan kritikal.

Tanpa berlengah, dia dan suami terus ke hospital sebelum dapat tahu Ainul Syahidah ditidurkan dengan diberi ubat dalam dos tinggi.

"Daripada situ, kami tahu anak memang dalam keadaan yang sangat kritikal dan kira-kira jam 5.30 pagi, doktor maklumkan harapannya terlampau tipis serta minta kami bersedia pada bila-bila masa.

"Kira-kira jam 10 pagi (kelmarin), kami dipanggil kali kedua untuk penerangan lagi yang anak kami memang sudah nazak dan sempat memangkunya dan nampak Ainul bernafas dengan tercungap-cungap sebelum senyap jam 10.45 pagi.

"Ketika itu, saya dapat rasa anak saya sudah tiada dan doktor juga sahkan selepas memeriksa jantungnya," katanya.

Jauh di sudut hati, Nur Hakimah dan suami sedih namun cuba berdamai dengan takdir serta mengikhlaskan pemergian anak syurga mereka walaupun perit.

"Tipu kalau katakan tidak menangis untuk melepaskan anak yang sudah dikandungkan sembilan bulan, malah lahir sempurna dan sudah dibeli semua kelengkapannya.

"Kalau pandang semua barang itu memang sedih tetapi tak terlintas dalam fikiran saya dan suami untuk persoalkan takdir serta mengapa diuji kerana terlalu banyak nikmat kami dapat di dunia ini.

"Kami yakin Allah sudah tetapkan jalan terbaik. Mungkin jika panjang umurnya, bermacam penyakit perlu dihadapi kerana keadaan paru-paru teruk.

"Bukan kami yang kuat tetapi Allah kirimkan kekuatan itu supaya kami dapat terima ujian dengan senyuman. Lagipun, anak itu bukan hak kami tetapi milik Allah dan sekadar pinjaman buat kami," katanya

Berkongsi hantarannya di Facebook (Fb) yang meruntun hati warganet, Nur Hakimah berkata, dia sekadar memuat naik hantaran di platform berkenaan untuk berkongsi kisahnya.

"Tak sangka dapat perhatian namun terima kasih yang tidak putus mendoakan malah banyak sungguh kata-kata kekuatan yang kami dapat daripada kenalan mahupun bukan kenalan kami.

"Diharap doa itu berterusan supaya kami boleh kuat untuk lalui hari mendatang terutama waktu yang rapuh dalam tempoh berpantang ini," katanya.


Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!