Lelaki disyaki bunuh bayi dipercayai ‘mat gian’


ALOR SETAR – Seorang lelaki yang disyaki membunuh bayi lelaki berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Padang Hang, di sini pada Isnin lalu dipercayai penagih dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek berusia 28 tahun mempunyai lapan rekod jenayah dan dadah di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika isteri suspek berusia 22 tahun tiada di rumah selepas wanita terbabit bertindak keluar dari rumah kerana mendakwa dipukul suspek.

“Dua lagi anak suspek berusia tiga dan lima tahun dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi pemeriksaan sama ada wujudnya elemen penderaan atau gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pelupusan Barang Kes Dadah bagi kes yang sudah selesai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku, tiada ahli keluarga lain di rumah berkenaan dan pihak polis masih menyiasat punca kejadian.

“Siasatan awal mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala bayi itu yang boleh menyebabkan maut akibat daripada hentakkan benda tumpul.

“Namun laporan bedah siasat terhadap bayi itu masih belum diterima sepenuhnya setakat ini. Siasatan masih dilakukan kerana bayi tiga bulan kalau digoncang-goncang, hentak dan hempas dengan kuat pun boleh menyebabkan kematian,” ujarnya.



Sumber – KOSMO! ONLINE



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!