Pura-pura bantu mangsa kemalangan sebelum larikan motosikal


Kuala Lumpur: Penghantar makanan dan pelayan kedai antara lapan yang ditahan kerana disyaki melarikan sebuah motosikal milik seorang mangsa kemalangan di susur keluar Plaza Tol Gombak menghala ke Ampang, dekat sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa, seorang lelaki berusia 27 tahun menunggang Yamaha Y15 mengalami kemalangan kecil sebelum dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah motosikal datang membantunya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki itu membantu menghantar mangsa bersama motosikalnya pulang ke rumah di Lorong Kijang, Klang Gate, Ampang dengan salah seorang lelaki

"Bagaimanapun, apabila sampai di rumah, mangsa mendapati motosikal yang ditunggang salah seorang lelaki yang membantunya itu tidak ada.

"Mangsa bertanyakan kepada seorang lagi lelaki yang membantu menghantarnya ke rumah, namun lelaki terbabit terus beredar meninggalkannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya, mangsa membuat satu laporan polis dan hasil siasatan, lapan individu warga tempatan termasuk dua wanita berjaya ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Setapak dan Lembah Klang, semalam.

Menurut Mohamad Farouk, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 48 tahun antaranya bekerja sebagai penghantar makanan, pelayan kedai, peniaga serta suri rumah.

"Selain tangkapan, polis turut merampas dua motosikal termasuk sebuah jenis Yamaha Y15 dipercayai milik mangsa serta sebuah lagi motosikal Honda yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.

"Ujian saringan air kencing menunjukkan kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine.

"Hasil siasatan mendapati mereka merancang untuk melarikan motosikal mangsa sebelum menjual komponen motosikal itu sebagat alat ganti," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman empat hari sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan serta Seksyen 15(1)(a) Aktar Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam badan.

Kata Mohamad Farouk, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada kumpulan ini ada terbabit dengan mana-mana kejadian curi motosikal lain di sekitar daerah Ampang Jaya.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!