'Tidak tahu hamil, tahu-tahu bayi keluar'


Kangar: "Memang tiada tanda, tiada simptom, tahu-tahu bayi dah keluar."

Begitulah reaksi suri rumah, Nur Atiqah Mustafa, 24, dari Pokok Sena, Kedah yang melahirkan bayi perempuan yang dianggap 'ajaib' tanpa mengalami sebarang tanda kehamilan selain kitaran haidnya juga berlaku seperti biasa.

Nur Atiqah atau lebih dikenali sebagai Eyka berkata, dia dan suaminya, Amirul Azizan, 26, turut tidak menjangka rasa sakit perut yang dialaminya pada malam 18 Oktober lalu dan melarat sehingga keesokannya membawa kepada kelahiran anak kedua mereka yang diberi nama Raiqa Hanania.

Malah, pasangan berkenaan mendedahkan sejak kelahiran anak pertama mereka, Mohamad Fayyad Harraz setahun yang lalu, Eyka mula merancang kehamilannya dengan mengamalkan pengambilan pil perancang keluarga yang dibeli dari sebuah farmasi di kediaman mereka di Bintong, di sini.

"Kitaran haid saya berjalan seperti biasa namun pada malam 18 Oktober lalu, perut saya mula terasa sakit dan berbaring di sofa di rumah dan pada ketika itu masih dalam keadaan baik namun ia kesakitan itu kemudian melarat sehingga awal pagi 19 Oktober.

"Risau keadaan saya, suami segera memeriksa keadaan. Saya menjerit seperti mengalami sembelit ketika itu dan selepas meneran sebanyak tiga kali, suami terkejut ternampak kepala dan terus sambut bayi yang dilahirkan itu.

"Bayi itu dilahirkan sekitar jam 8.45 pagi dan suami saya segera menghubungi talian kecemasan yang mana ambulans dari Hospital Tuanku Fauziah, Kangar tiba sekitar tujuh hingga 10 minit kemudian dengan ditemani bidan kerajaan yang dijemput dari klinik kesihatan berdekatan," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Bintong, di sini hari ini.

Walaupun bersyukur di sebalik kelahiran cahaya matanya itu, dia menjadi hairan kerana dia sendiri tidak mengalami sebarang petanda kehamilan seperti lazimnya yang dialami oleh wanita yang hamil.

"Memang tiada sebarang simptom seperti saya hamil anak pertama dulu yang mana adakalanya saya loya, hilang selera makan malah fizikal saya seperti muka dan badan juga 'kembang' dan perut nampak besar tetapi kali tiada apa langsung tanda berlaku malah tiada juga alahan.

"Semuanya biasa dan saya sendiri pun tidak mengetahui bahawa saya hamil kerana kitaran haid saya tetap berjalan macam biasa," katanya.

Dia berkata, pengambilan pil perancang adalah bertujuan menjarakkan kelahiran anaknya yang pertama dengan berikutnya.

"Pengambilan pil itu juga saya lakukan selepas kelahiran anak pertama saya yang kini sudah memasuki usia satu tahun dua bulan.

"Selain itu, pemakanan saya juga seperti orang normal biasa, tiada pantang, kerana saya memang tidak tahu bahawa saya hamil jadi sukar untuk saya tafsirkan bahawa saya sedang mengandung ketika itu kerana tiada tanda itu," katanya.

Sementara itu, Amirul berkata, bayinya itu lahir dalam keadaan normal sekitar 20 minit dengan berat dianggarkan 3.7 kilogram (kg) berbanding anaknya sulung iaitu 3.56 kg.

"Apabila berlaku kelahiran itu, terkejut juga, mujurlah saya ada tonton di televisyen cara untuk mengendalikan bayi yang lahir kerana semasa kelahiran Raiqa, ia berlaku dalam tiga fasa yang mana pada mulanya saya ternampak rambutnya mulai keluar kemudian ternampak kepala sebelum keseluruhan bayi keluar.

"Apabila bayi itu keluar, saya sambut dengan tenang dan menepuk pada belakang badannya sebelum bayi itu mula menangis dan segera saya iqamatkan di telinga bayi saya," katanya.

Nur Atiqah sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Amirul yang bekerja sebagai pemandu lori pasir dan pasangan berkenaan juga bersyukur apabila diberitahu oleh doktor di HTF bahawa anak mereka yang kini berusia lapan hari itu adalah normal.


Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!