Kajang: Luluh hati seorang lelaki melihat rakan sekerjanya maut di depan mata sejurus dirempuh dua kenderaan berhampiran lampu isyarat Taman Saujana Impian, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini.
Dalam kejadian jam 9.15 pagi tadi, mangsa, Mohd Arifin ,21, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bekerja di pusat pengumpulan barangan pembelian dalam talian terkenal di Bandar Teknologi dekat sini.
Saksi kejadian yang juga rakan sekerja mangsa, Basri Umar, 23, berkata, nahas berlaku ketika dia dan mangsa menunggang motosikal berasingan dari arah Seremban untuk pulang ke kediaman mereka di Sungai Sekamat di sini.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal di hadapannya.
"Kejadian berlaku sekelip mata apabila mangsa digesel dan digilis dua kenderaan. Saya sempat melihat sebuah kereta berwarna putih dan sebuah lori yang meninggalkan lokasi tanpa berhenti untuk melihat keadaan mangsa.
"Saya tidak sempat mengambil nombor pendaftaran kenderaan itu kerana bergegas melihat keadaan Mohd Arifin yang terbaring di atas jalan raya," katanya.
Sementara itu, jurucakap perubatan Hospital Kajang berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kaki kanan mangsa mengalami kecederaan teruk dipercayai digilis kenderaan berat.
Sementara itu suasana hiba menyelubungi lokasi kemalangan apabila bapa ibu serta ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan air mata sebaik melihat keadaan mangsa.
Sumber - HMetro