KUALA PILAH – Sepasang kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini atas kesalahan mencuri barang kemas dalam kedai emas di Pekan Kuala Pilah, lebih seminggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Efendi Sanusi Gunarto, 24, dan Nur Sabrina Khairul, 22, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan bersama, kedua-duanya pada 8 April lalu kira-kira pukul 3.45 petang di Kedai Emas Pilah, telah mencuri seutas gelang tangan emas jenis Dunhill seberat 36.76 gram milik kedai emas berkenaan.
Kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sekiranya bagi kesalahan kali kedua, boleh dikenakan tambahan hukuman sebatan.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 setiap seorang dan kes ditangguhkan pada 25 April ini untuk menjatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sepasang kekasih yang sebelum ini bertindak melarikan seutas gelang emas bernilai RM10,000 dari sebuah kedai hanya sempat bersuka ria selama seminggu sebelum dicekup kira-kira pukul 11.30 malam, 14 April lalu di Pudu Kuala Lumpur.
Sumber – KOSMO! ONLINE.