‘Kami terpaksa harap bantuan orang’


GURUN – Seorang suri rumah terpaksa mengharapkan bantuan kewangan daripada saudara-mara dan jiran untuk membeli barangan keperluan ibunya yang terlantar sakit akibat penyakit saraf serta buah pinggang kronik sejak Februari lalu.

Nor Asyiqin Wahid, 39, yang sebelum ini menetap di Sungai Lalang di Sungai Petani bersama suami dan dua anaknya kini terpaksa berpindah ke rumah ibunya, Aini Md. Isa, 65, di Taman Gurun Jaya di sini.

Menurut Nor Asyiqin, ibunya memerlukan penjagaan rapi kerana tidak boleh menguruskan diri sendiri akibat penyakit saraf itu selain sedang menjalani rawatan hemodialisis di rumah.

“Saya memerlukan kira-kira RM2,000 sebulan untuk membeli susu, lampin pakai buang, ubat-ubatan dan beberapa lagi keperluan lain.

“Ibu saya mengalami masalah tiada selera makan menyebabkan saya terpaksa membeli susu khas yang berharga RM10 sekotak dan perlu diminum dua kotak setiap hari,” katanya di rumah ibunya itu baru-baru ini.

Menurutnya, selain itu, ibunya juga memerlukan bantuan sebuah katil mudah alih atau katil hospital untuk memudahkan urusan hariannya.

“Jiran-jiran di sini ada bantu untuk dapatkan bantuan katil hospital yang diwakafkan, namun masih belum ada kekoso­ngan,” ujarnya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, sebelum ini ibu­nya menyara hidup dengan bayaran pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah bapanya RM500 sebulan.

Ujarnya, sebelum ini juga perbe­lanjaan ibu dibantu oleh abang sulung, Mohd Azizi, 43, yang be­kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Gurun dan adik perempu­an, Nor Hidayah, 34, yang bekerja sebagai pegawai bank di Alor Setar.

“Bagaimanapun, kehidupan abang dan adik saya itu juga diuji apabila mereka turut menderita sakit akibat mengalami slip disc (tulang rawan tergelincir) sejak setahun lalu,” ujarnya.

Disebabkan itu, kata Nor Asyiqin, adiknya terpaksa berhenti kerja sebagai pegawai bank, manakala abang pula hanya bergantung kepada gaji asas.

Orang ramai yang ingin me­nyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank 4910957129 atas nama Aini Md. Isa atau menghubungi Nor Asyiqin di talian 016-902 2574. 



Sumber - KOSMO! ONLINE



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!