Kota Kinabalu: Dua kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera tertimbus tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, di sini, malam tadi.
Mangsa Norain Jaziz, 11, dan Isa Sabri, 2, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), manakala Siti Nur, 28, parah patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan hospital sama .
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 8.26 malam tadi.
Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang didiami sembilan sekeluarga.
"Terdapat empat mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan tiga daripada mereka tertimbus tanah dan pokok, manakala satu lagi cedera di kaki," katanya, malam tadi.
Menurut kenyataan itu, seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
"Dua lagi mangsa perempuan termasuk seorang kanak-kanak yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan orang awam.
"Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan ambulans.
"Dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di hospital manakala dua lagi mangsa yang cedera kini menerima rawatan," katanya.
Katanya lagi, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain terbabit operasi ditamatkan kira-kira 10 malam tadi.
Sumber - HMetro