Alor Setar: "Saya terkejut sebaik mengetahui adik ipar tertimbus dalam kejadian tanah runtuh kerana tempat kerjanya bukan di sini. Dia datang sini cuma nak ambil barang.
"Tapi mungkin sudah ajalnya. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku walaupun dia anak kesayangan ibu mentua," kata Halimah Mohd Kasa, 46.
Mayat Mohamad Nasir Awang Ali, 40, ditemui 12.38 tengah hari tadi oleh pasukan bomba dan penyelamat di di tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang.
Menurut Halimah, dia mengetahui kejadian menimpa Mohamad Nasir ketika pulang kerja melalui adik ipar bongsunya, kira-kira 10 pagi tadi.
Katanya, sebaik mengetahui perkara itu, dia dan beberapa ahli keluarga lain bergegas ke lokasi.
"Allahuakbar, saya tak tahu nak cakap apa kerana arwah adik ipar seorang yang sangat baik.
"Lembik lutut saya bila dapat tahu dia tertimbus dalam tanah runtuh dan berdoa supaya dia ditemui selamat tetapi apakan daya semua dah tertulis," katanya ketika ditemui di kawasan tapak pembinaan, hari ini.
Halimah berkata, Mohamad Nasir bekerja di kuari pasir berhampiran kawasan itu dan bukannya bekerja di situ.
Katanya, ada rakannya beritahu dia nak ambil barang tapi sebaik dia naik ke atas jengkaut itu, tiba-tiba berlaku tanah runtuh.
"Rakan mangsa dah jerit suruh lompat tapi tak sempat.
"Ujian buat kami sekeluarga dengan berita sebegini kerana bapa mentua baru meninggal dunia minggu lepas, tak tahu nak cakap apa, memang sedih," katanya.
Halimah berkata, adik iparnya itu sudah berkahwin dan mempunyai enam anak.
Sumber - HMetro