Amaran awal pagi


Seremban: Guru tuisyen terkejut apabila keretanya yang diletakkan di luar rumah di Taman Baiduri, Lobak, di sini dirosakkan dengan api dipercayai amaran daripada pihak tertentu.

Dalam kejadian 4.15 pagi hari ini, wanita berusia 54 tahun itu turut menemui nota yang meminta supaya menghubungi seseorang dengan segera.

Bagaimanapun, Lee Mei Ching berkata, tidak tahu motif kejadian itu, malah tidak pernah meminjam dengan Along atau mempunyai masalah dengan mana-mana individu.

Dia juga mengesyaki identitinya disalahgunakan pihak lain hingga membawa kepada insiden berkenaan.

"Ketika kejadian saya sedang tidur dan tersedar kerana bunyi hon kereta dan loceng rumah ditekan seseorang. Ketika itu suami dan seorang anak berusia 25 tahun turut berada di rumah.

"Apabila saya turun ke tingkat bawah didapati kereta Perodua Myvi sudah terbakar pada 'bumper' belakang hingga ia hancur," katanya, hari ini.

Lee berkata, dia menemui serpihan plastik terbakar di atas bumbung kereta dan nota atas nama individu lain yang beralamat sama dengan rumahnya, meminta supaya menghubungi individu lain melalui WhatsApp.

"Saya tidak pasti punca kejadian ini, namun sejak Selasa minggu lalu pernah terima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, memaklumkan ada orang sedang mencari saya.

"Ketika itu saya tidak membuat sebarang laporan kerana menyangka orang hanya tersalah nombor dan saya sendiri tidak bergaduh atau meminjam wang daripada sesiapa," katanya yang membuat laporan polis selepas merasakan diri tidak selamat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan siasatan sedang dilakukan.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!