Dua cedera, lori rempuh di lampu isyarat


MELAKA – Dua pemandu termasuk seorang wanita cedera dalam nahas membabitkan sebuah lori simen hilang kawalan sebelum merempuh empat kenderaan lain di lampu isyarat di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, pemandu wanita berusia 31 tahun itu mengalami bengkak di kaki dan mata, manakala seorang lagi luka di kaki, tangan serta muka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori simen tersebut yang datang dari arah Cheng mengahala Sungai Udang mengalami masalah brek.

Katanya, lori tersebut telah merempuh bahagian belakang sebuah lori lain yang kemudiannya menyebabkan tiga lagi kenderaan termasuk dua buah Perodua Myvi dihadapan dilanggar.

“Lori simen itu dipercayai telah mengalami kerosakan brek sebelum merempuh bahagian belakang lori lain yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat.

“Tiga kenderaan lain dihadapan lori terbabit iaitu dua buah Myvi dan sebuah lori lain turut dilanggar,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan pegawai di lokasi mendapati laluan merupakan jalan lurus dua lorong dan cuaca baik dalam keadaan baik.

“Kita meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan susulan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 




Sumber - KOSMO! ONLINE.



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!