Gua Musang: Sehari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha, namun sekeluarga dari Kampung Kerinting, di sini hilang segala-galanya apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran, semalam.
Mohd Saifulnizam Yahya, 44, berkata, semua persiapan raya dan barangan lain tidak dapat diselamatkan selepas api marak membakar kediaman itu pada 3.10 petang.
Katanya juruteknik itu, anggaran kerugian ditanggung kira-kira RM150,000 dan dia, isteri Rosmaliza Abdullah, 36, serta empat anak kini tinggal sehelai sepinggang.
"Ketika kejadian saya sedang bekerja di pasar raya di bandar ini apabila isteri menelefon memaklumkan rumah kami terbakar.
"Luluh hati saya apabila melihat keadaan rumah pemberian keluarga mentua sejak tujuh tahun lalu dan semuanya musnah.
"Barangan elektrik terbakar, selain baju raya dan bahan masak serta juadah hari raya juga hangus.
"Namun saya reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana isteri dan anak kami termasuk bayi berusia setahun empat bulan terselamat," katanya yang memberitahu kejadian mungkin berpunca daripada bahagian depan rumah.
Menurutnya, isteri dan anak-anaknya menyedari kepulan asap dan lari menyelamatkan diri menerusi pintu belakang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 3.21 petang dan sepasukan anggota ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sumber - HMetro