PETALING JAYA – Isteri yang ditangkap berkhalwat ketika dalam tempoh perkahwinan dikhuatiri berdepan dalam isu tuntutan mutaah selepas bercerai.
Menurut peguam syarie, Nor Asyiqin, ia disebabkan perbuatan tersebut telah memberi peluang kepada si suami membela diri lantaran tiada kebahagiaan dalam rumah tangga sekali gus menjadi alasan utama menggagalkan tuntutan mutaah isteri.
Bagaimanapun, katanya, penilaian tangkapan khalwat perlu dilaksanakan dalam tempoh perkahwinan dan bukannya selepas bercerai.
“Berikutan itu, ia akan mengakibatkan si isteri tidak layak menerima mutaah ataupun amaun yang diterima tidak setimpal dengan pengorbanannya.
“Semua itu terletak pada mahkamah yang menilainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Nor Ashiqin berkata, mahkamah juga kini semakin tegas berkenaan isu tuntutan mutaah yang difailkan oleh isteri khususnya klausa ‘dicerai dengan cara yang tak patut’ yang sering menjadi perdebatan pihak-pihak mahupun peguam.
“Jadi adalah dinasihatkan buat para isteri, sekiranya anda menuntut cerai secara fasakh, anda tidak berhak terhadap tuntutan mutaah meskipun ia bukan berpunca dari kesalahan anda,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE