Peniaga kuih didakwa langgar anggota polis hingga koma


Kulim: Seorang peniaga kuih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh anggota polis Sabtu lalu.

Tertuduh, Chua Kai Choon, 45, berasal dari Bedong, Sungai Petani membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Chua didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, dengan melanggar anggota polis berkenaan menggunakan lori pikap Nissan Frontier.

Perbuatan yang boleh menyebabkan kematian itu didakwa dilakukan pada 16 Julai lalu, jam 9.15 pagi di Jalan Kulim-Serdang, berhampiran Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi kesalahan itu, Chua didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Pavithra manakala tertuduh diwakili peguam Chong Seng Meng dan Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

Terdahulu, Chong merayu mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan Chua tidak lari dan akan melaporkan di balai polis berhampiran sekiranya diperintahkan mahkamah.

Chong turut memberitahu yang anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga kuih di pasar pagi dan terpaksa menanggung isteri warga Thailand, dua anak dan ibu yang juga warga emas.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan menawarkan dan menetapkan 16 Ogos sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan berasingan ke atasnya masing-masing tiga kes mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menghalang tugas penjawat awam dan kes dadah.

Bagi pertuduhan pertama mengikut APJ 1987, tertuduh pada 16 Julai jam 9.15 pagi di Jalan Kulim-Serdang berhampiran pejabat LHDN didakwa mengikut Seksyen 44(1A) APJ 1987 kerana memandu lori pikap Nissan Frontier di bawah pengaruh dadah dan minuman memabukkan sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Chua pada tarikh, waktu dan lokasi sama didakwa mengikut Seksyen 6(1) APJ 1987 kerana mengubahsuai struktur serta peralatan pada kenderaannya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Noor Fazlina menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan kesalahan itu terhadap Koperal Muhamad Syafiq pada 16 Julai jam 9.15 pagi di Jalan Serdang-Kulim.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah dalam tubuhnya di tandas Balai Polis Kulim pada 16 Julai jam 3.05 petang.

Bagi dua pertuduhan itu mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM2500 dan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Arthini manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.



Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!