SUNGAI PETANI: "Jangan pi mana," itu pesanan terakhir Allahyarham Ismail Ahmad, 58, kepada menantunya, Khairul Anuar Mohamad, 37, yang meminta dia menemaninya bermalam di hospital, Sabtu lalu.
Khairul Anuar berkata, bapa mentuanya itu sempat meninggalkan pesanan terbabit ketika dia bermalam di hospital kerana menjaga arwah.
"Arwah mengadu tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam kerana mengalami sakit di badan dan saya lihat dia hanya tidur sekejap-sekejap sahaja.
"Kesihatannya agak merosot dan saya yang menjaganya juga tidak dapat melelapkan mata sehingga pagi kerana mahu memantau keadaan bapa mentua," katanya yang ditemui di Taman Ria Jaya, malam tadi.
Menurutnya, dia kemudian pulang sebelum diganti dengan isteri, Nor Shazleen, 34, yang juga anak ketiga arwah jam 8 pagi semalam.
"Kerana terlalu mengantuk, saya terus tidur sebaik sampai di rumah sebelum menerima panggilan daripada isteri yang memaklumkan bapa mentua tenat kira-kira jam 2 petang.
"Mendengarkan berita itu, saya terus bergegas ke hospital namun mentua ketika itu sudah tidak sedarkan diri sebelum dia akhirnya disahkan meninggalkan dunia beberapa jam kemudian," katanya.
Dalam kejadian Khamis lalu, Ismail yang bertugas sebagai pengawal keselamatan parah akibat dilibas pedang di kepala dan tangan oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur menunggang motosikal secara berbahaya di tapak projek perumahan di Bukit Banyan.
Bapa kepada empat anak yang juga bekas pesara tentera itu meninggal dunia kira-kira jam 6 petang semalam selepas empat hari bertarung nyawa di hospital.
Sementara itu, Khairul berkata mereka sekeluarga kini berharap individu yang menyebabkan mentua meninggal dunia dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan dilakukannya itu.
"Biarpun sedih namun kami reda dan serah segala-galanya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan mengikut proses dan undang-undang yang sah," katanya.
Difahamkan, jenazah Ismail akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Kelisa selepas proses bedah siasat selesai.
Sumber - Berita Harian