Anggota trafik minta wang daripada warga Singapura ditukar tugas


JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis trafik ditukarkan tugas serta-merta dan kini dalam siasatan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Johor selepas didakwa terbabit dalam pemerasan terhadap warga Singapura pada 29 September lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di jalan raya berhampiran Tambak Johor, kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya mengesahkan kejadian pemerasan terhadap warga Singapura oleh anggota polis trafik terbabit.

Beliau berkata, anggota itu ditukarkan kepada penugasan yang tidak berurusan dengan orang ramai secara serta-merta.

"Kes ini juga sedang disiasat oleh JIPS untuk tindakan lanjut, termasuk siasatan daripada aspek penyeliaan.

"Polis Johor memandang serius perkara ini yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasi serta imej pasukan polis.

Siasatan dijalankan dan hukuman yang boleh dikenakan bermula daripada tugasan memenatkan sehingga boleh ditamatkan perkhidmatan dalam pasukan jika didapati bersalah," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, polis Johor sama sekali tidak akan bertolenransi atau berkompromi dengan mana-mana perbuatan oleh pegawai dan anggota yang menyalahi undang-undang serta etika sebagai penjawat awam.

Terdahulu, laporan berita sebuah portal Singapura melaporkan kejadian pasangan suami isteri yang mendakwa ditahan polis trafik di Johor Bahru dan meminta RM500 sebagai denda sebelum melepaskan mereka.

Menurut wanita berusia 39 tahun dikenali sebagai Cao, polis trafik itu menahan mereka kononnya atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah sebanyak dua kali.

Beliau mendakwa, anggota polis itu kemudian memeriksa lesen dan pasport suaminya dan kemudian meminta mereka mengikutnya ke balai polis.

Namun, selepas hampir 500 meter mengekori dari belakang anggota polis itu meminta mereka berhenti dan mengarahkan keluar, sebelum meminta wang RM500.



Sumber - Berita Harian 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!