2 anggota TLDM maut nahas jalan raya



Kota Kinabalu: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang treler berhampiran terowong di Jalan Sepanggar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Ahmad Faiz Mohd Hanif, 38, dan Norasnizam Mohd Alui, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua mangsa masing-masing menaiki motosikal Yamaha Y15ZR serta Y16ZR bergerak dari arah terowong menghala ke Pelabuhan Sepanggar.

Bagaimanapun katanya, sebuah treler yang di laluan bertentangan pula dikatakan cuba berpatah balik ke Pelabuhan Sepanggar.


"Ketika membuat pusingan U, pemandu lori terpaksa memperlahankan kenderaan selepas terganggu dengan sebuah kenderaan lain yang diletakkan di kiri bahu jalan.

"Kedua-dua mangsa dipercayai gagal melihat treler dan terus merempuh belakang lori berkenaan," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dari Hospital Likas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.14 malam.

Katanya, pasukan bomba yang tiba terus menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pemeriksaan di sekitar lokasi turut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 10.33 malam," katanya.


Sumber - HMetro 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!