Harga ikan naik mendadak, peniaga rugi jualan tak laku


KUALA LUMPUR: Peniaga ikan mendakwa tersepit dengan jualan harian yang merosot secara mendadak selepas orang ramai enggan membeli ikan susulan harga mahal yang dijual sekitar RM10 hingga RM20 sekilogram.

Tinjauan BH di Pasar Raja Bot atau Pasar Chow Kit semalam mendapati gerai ikan kurang mendapat sambutan dengan kebanyakan pembeli mengeluh susulan harga tinggi berbanding sebelum ini.

Antara jenis ikan yang naik mendadak adalah ikan kembung dengan harga RM17 sekilogram, siakap dijual RM20 sekilogram dan sardin (RM12).

Penjual ikan, Nasir Saleh, berkata sejak kebelakangan ini jualannya semakin menurun, malah banyak ikan terpaksa dijual secara longgok kerana hampir busuk akibat tidak laku.

"Dulu, dalam masa sehari, tiga tong ikan habis dijual tetapi sekarang, satu tong ikan pun susah untuk dijual habis.

"Pelanggan yang sebelum ini datang membeli banyak hingga lima kilogram seorang, kini memberi sekitar dua kilogram saja akibat harga naik.

"Keadaan ini menyebabkan kami kerugian, malah duit jualan harian terpaksa diguna untuk membeli ikan daripada pemborong bagi jualan esok pula," katanya kepada BH, hari ini.

Nasir berkata, ikan kembung yang dibeli daripada pemborong dengan harga RM16.50 sekilogram, terpaksa dijual pada harga RM17 dengan untung diperoleh sekitar 50 sen saja.

Beliau berkata, pemborong memaklumkan kenaikan harga berlaku berikutan bekalan ikan merosot yang menyebabkan harga turut naik berganda.

Suri rumah, Sufiah Rashid, 38, berkata sebelum ini ikan menjadi pilihan keluarganya kerana lebih murah berbanding ayam.

"Saya terkejut apabila harga ikan juga kini naik mendadak. Sebelum ini, sebagai langkah berjimat cermat, saya jarang beli ayam selepas harganya naik.

"Namun, apabila harga ikan semakin tinggi, saya hanya mampu membeli beberapa ekor sahaja setiap kali ke pasar," katanya.

Sementara itu, tinjauan di gerai ayam mendapati peniaga meletakkan tanda harga jualan sekitar RM8.90 sekilogram, namun ada peniaga memaklumkan kepada pembeli harga dinaikkan kepada RM10 termasuk caj bagi pemotongan ayam.

Peniaga, Siti Saleha Rahman,40, berkata taktik berkenaan kerap digunakan peniaga di Pasar Chow Kit, bahkan ada yang meletakkan harga sehingga RM11 jika pembeli inginkan ayam segar.

Bekalan sayur pula didapati mencukupi dengan kebanyakan peniaga memaklumkan perniagaan sudah beransur pulih dengan harga kembali menurun.

Misalnya, harga sawi yang sebelum ini dijual sekitar RM8 sekilogram turun kepada RM5, manakala harga cili merah turun dari RM14 kepada RM12 sekilogram.

Harga tepung gandum di kedai runcit, di sini juga terkawal dengan harga sekilogram dijual RM3.50.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Sumber - Berita Harian 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!