‘Nak makan, lalat masuk mulut dulu’


BANDAR BAHARU – Kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di mukim Terap di sini mengeluh apabila terpaksa berhadapan dengan isu lalat sejak 20 tahun lalu.

Kampung berkenaan ialah Kampung Terap, Kampung Terap Batu 10 dan Kampung Bendang Sera. Mereka mendakwa, kawasan kampung akan dipenuhi serangga itu setiap kali ayam dewasa dibawa keluar dari ladang ternakan berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Terap Batu 10, Annuar Mansor berkata, paling teruk terkesan ialah penduduk di kampungnya kerana kedudukannya berhampiran tiga ladang ayam iaitu kira-kira 100 hingga 200 meter.

“Walaupun ada penternak menjalankan operasi ladang secara tertutup, namun masih ada penternak menjalankan ladang ayam secara terbuka.

“Bayangkan setiap hari penduduk diganggu lalat, nak makan pun terganggu dan paling meloyakan apabila lalat masuk dalam makanan kami,” katanya.

Menurutnya, kalangan peniaga makanan juga terkesan de­ngan masalah berkenaan sehingga kehilangan pelanggan apabila melihat banyak lalat.

Ujarnya, pihak penternak ada membantu penduduk de­ngan memberi kertas perangkap serangga dan alat semburan, namun ia tidak berhasil kerana jumlah lalat yang terlalu banyak.

“Kami sukar jalani kehidupan seperti biasa terutama jika mahu mengadakan kenduri,” jelasnya.

Penduduk, Shahrezal Hassan, 38, berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan isu itu demi keselesaan penduduk di sini.

“Setiap kali ayam dibawa keluar dari ladang, penduduk terpaksa hadapi masalah lalat ini antara dua hingga tiga minggu.

“Apabila penternak mula memasukkan anak ayam ke dalam ladang, maka masalah lalat akan berkurangan untuk sementara waktu, namun selepas tiga bulan ia kembali berulang,” ujarnya,

Seorang peniaga, Rohana Abu Bakar yang berniaga di kampung itu mengeluh kerana pelanggannya akan berkurangan setiap kali masalah lalat kembali.

“Bagi pelanggan dari kampung ini, mereka mungkin sudah biasa tetapi bagi orang luar yang singgah di gerai kami, mereka akan beredar keluar apabila nampak banyak lalat,” luahnya.



Sumber - KOSMO 



LAZADA BIG SALE

LAZADA LOWEST PRICE SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!